fbpx

Yusoff Rawther didakwa miliki pistol palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammed Yusoff ketika dibawa anggota polis pada prosiding September lalu.

KUALA LUMPUR – Selepas didakwa memiliki dadah, bekas pembantu penyelidik ahli politik didakwa lagi atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh Muhammed Yusoff Rawther, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S.Mageswary.

Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusoff didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pukul 9.25 pagi pada 6 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam bela, Nurmustanir Md. Nor yang mewakili tertuduh memaklumkan pihaknya tidak membuat sebarang rayuan berhubung jaminan berikutan Muhammed Yusoff masih dalam reman selepas didakwa atas dakwaan mengedar dadah.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak Majistret Mageswary tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 November ini bagi sebutan semula kes itu.

Pada 12 September lalu, Muhammed Yusoff didakwa dan mengaku tidak bersalah mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 305 gram, di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada 6 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.

Kemudian pada 27 September lalu, Muhammed Yusoff memfailkan saman pemula antaranya memohon perintah isytihar bahawa Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 berhubung `larangan ikat jamin’ bagi kes mengedar dadah sebagai tidak berperlembagaan.

Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dalam kenyataannya berkata, lelaki tersebut yang ditahan di Jalan Bukit Kiara, di sini telah direman selama enam hari.

Katanya, pemeriksaan pihak polis menjumpai dua pucuk pistol tiruan dan satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja di dalam kenderaan suspek. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI