SEBERANG PERAI – Seorang wanita Indonesia ditemui berlumuran najis selepas dia dipercayai ditinggalkan rakan senegaranya di pekarangan luar pejabat Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini kelmarin.
Kejadian itu dikongsikan menerusi Facebook JIM Pulau Pinang dengan memuat naik beberapa keping gambar wanita itu dalam keadaan rebah di lantai pejabat berkenaan.
Menurut kenyataan agensi itu, wanita terbabit ketika itu hadir mendaftarkan diri bagi mengikuti Program Repatriasi Migran (PRM) untuk pulang ke negara asal.
“Beliau yang berumur 46 tahun menghidap penyakit diabetes dengan mengalami luka kronik di bahagian kaki hadir bersama rakan senegara yang kemudiannya menghilangkan diri dengan meninggalkan beliau di pekarangan pejabat.
“Melihat keadaan wanita itu yang rebah dan berlumuran najis, beberapa pegawai imigresen bertugas bergegas memberikan bantuan kepadanya,” katanya di sini semalam.
Menurutnya kenyataan itu lagi, segala urusan wanita berkenaan telah dipermudahkan dan dia akan kembali ke negara asal pada 12 Oktober ini.
“Syabas dan tahniah kepada pegawai imigresen bertugas yang mempunyai empati dan menzahirkan nilai PERKASA seperti yang diinspirasikan oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE