JITRA – Taktik licik sindiket penyeludupan diesel beroperasi di sebuah bangsal dalam kebun pisang di Kampung Kepala Kerbau di sini terbongkar dalam serbuan Ops Tiris 3.0, hari ini.
Bangsal tersebut diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Pengarah Pejabat KPDN negeri, Muhammad Nizam Jamaluddin berkata, pemeriksaan menemukan 4,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM11,800.
“Ketika serbuan dijalankan, tiada individu di lokasi berkenaan. Semakan mendapati diesel itu disimpan tanpa lesen atau permit yang sah. Ia dipercayai diletakkan di situ sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan risikan, lokasi tersebut dipercayai baru beroperasi tiga minggu lalu dan penyeludup mendapatkan diesel berkenaan dari stesen-stesen minyak berhampiran.
Pihak KPDN turut merampas tiga tangki intermediate bulk container (IBC), sembilan tong dram dan beberapa peralatan memindahkan minyak diesel.
Dalam kes berasingan KPDN Kedah menyerbu sebuah premis di Pekan Simpang Kuala kerana disyaki menjual bateri dan pelapik telefon bimbit menggunakan cap dagangan berdaftar palsu.
Menurutnya, sebanyak 99 bateri telefon bimbit dan 42 pelapik bernilai RM2,610 disita untuk tujuan siasatan dengan serbuan tersebut dilakukan itu turut disertai oleh wakil pemilik cap dagangan berdaftar berkenaan. – KOSMO! ONLINE