fbpx

Guna kondo mewah simpan dadah RM5juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin menunjukkan rampasan dadah ketika sidang akhbar di IPK KL hari ini. FOTO NURUL NAJWA HASRAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket dadah menggunakan kondominium mewah dan kenderaan individu yang meninggal dunia terbongkar selepas polis memberkas tujuh individu dan merampas dadah bernilai RM5 juta dalam serbuan di ibu negara dan Johor baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 48 tahun yang bertindak sebagai transporter.

Kedua-dua suspek diberkas di tempat meletak kenderaan di sebuah kondominium di ibu negara.

Polis merampas sebanyak 71 kilogram (kg) syabu di dalam kenderaan jenis Proton X50 dan Proton Waja. Polis kemudian memberkas dua lagi suspek yang bertindak sebagai penghantar dalam serbuan kedua di lokasi sama.

“Salah seorang suspek kemudian membawa polis ke tempat letak kereta di Kiara East dan merampas 40.7kg syabu dan 19.5kg ketamin di dalam sebuah kenderaan.

“Seterusnya, kita menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan teman wanitanya warga Thailand bersama heroin seberat 0.138 gram (g), pil erimin 5 (30 biji) dan pil ekstasi (4 biji) di sebuah rumah di Kampung Rawang Muar, Johor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut beliau, ketua sindiket iaitu lelaki tempatan berusia 46 tahun dan teman wanitanya pula ditahan bersama sejumlah syabu dan pil erimin 5 (30 biji) di sebuah kondominium di Muar, Johor.

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4.66 juta dan boleh digunakan oleh seramai 670,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Kesemua tangkapan direman antara empat hari dan enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI