RIYADH – Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo menegaskan, dia sudah tidak kisah dengan rekod peribadi, sebaliknya mahu lebih banyak membantu pasukan mencapai sasaran ditetapkan.
Penyerang pasukan Liga Pro Arab Saudi (SPL), Al-Nassr itu berkata, perebutan mengenai gelaran pemain terbaik dunia sudah tidak lagi berada dalam fikirannya ketika usianya sudah semakin hampir menginjak ke 40 tahun.
Jelas Ronaldo, dia sudah pun merasai pengalaman memecahkan pelbagai rekod sepanjang bergelar pemain bola sepak, jadi ketika karier sudah semakin hampir ke penghujung, dia hanya meletakkan sasaran membantu pasukan.
“Bagi saya, sudah tidak penting lagi sama ada saya merupakan pemain terbaik di dunia ataupun tidak kerana saya sudah tidak pedulikan semua itu. Masa untuk fokus kepada perkara seperti itu sudah pun berlalu.
“Memang benar satu kepuasan untuk mana-mana pemain dapat menjaringkan gol, namun untuk saya sekarang adalah kemenangan pasukan adalah lebih baik berbanding kepuasan diri sendiri,” kata kapten Portugal itu.
Meskipun usia hampir menjangkau 40 tahun, namun legenda Real Madrid itu masih mampu menggegarkan arena bola sepak dunia apabila menjadi penjaring terbanyak saingan SPL musim lalu selepas meledak 35 gol.
Selain itu, Ronaldo juga masih menggalas misi untuk melakukan 1,000 jaringan dalam karier memandangkan ketika ini dia sudah menjaringkan 905 gol di peringkat kelab dan antarabangsa. – AGENSI