fbpx

Musim tengkujuh tidak jejas pembinaan ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Athony Loke (dua dari kanan) menyaksikan Darwis (kiri) dan Muktar (kanan) bertukar dokumen MoU pembinaan jajaran sambungan ECRL di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang rancak dibina tidak akan terjejas dengan risiko banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan semua infrastruktur ECRL termasuk landasan sepanjang 665 kilometer telah mengambil kira musibah banjir yang sering melanda Pantai Timur.

“Saya yakin semua perancangan telah dibuat dengan rapi dan tahu cuaca di Pantai Timur ini. Kerja (pembinaan boleh dibuat mengikut jadual.

“Semua landasan ECRL dibina lebih tinggi dari kawasan dilanda banjir,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia Rail Sdn. Bhd. (MRL) dan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di sini hari ini.

Perjanjian MoU berhubung pembinaan jajaran sambungan ECRL ke dermaga Pelabuhan Kemaman itu ditandatangani antara Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan CEO EPIC, Muktar Suhaili.

Dalam perkembangan sama, Anthony Loke memberitahu projek ECRL yang disasar siap sepenuhnya pada tahun 2027 sudah mencapai kemajuan keseluruhan 72.93 peratus.

Beliau berkata, kemajuan kerja pembinaan ECRL di Terengganu telah mencapai 87.4 peratus iaitu tertinggi antara empat negeri yang terlibat dalam projek berimpak tinggi terbabit.

“Berdasarkan kemajuan tersebut, kita yakin jajaran Kota Bahru, Kelantan ke Gombak, Selangor akan dapat mula beroperasi mengikut jadual pada 1 Januari 2027,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke berkata, selain dermaga Pelabuhan Kemaman, jajaran sambungan juga akan dibina di Pelabuhan Kuantan, Pahang dan Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.

Beliau berkata, pembinaan jajaran sambungan ke dermaga pelabuhan-pelabuhan utama itu akan menjadi pemangkin penggunaan rel yang lebih efisien, kos elektif dan mesra alam bagi pengangkutan kargo di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI