MOTEGI, Jepun – Pelumba Pramac, Jorge Martin mahu memanfaatkan sesi kelayakan bagi memburu petak utama saingan Grand Prix (GP) Australia pada 20 Oktober depan bagi mencerahkan peluangnya menjuarai perlumbaan tersebut.
Perebutan gelaran dunia MotoGP 2024 semakin sengit selepas Francesco Bagnaia (Ducati) berjaya menjuarai perlumbaan di GP Jepun pada Ahad lalu membolehkan pelumba Itali itu merapatkan jurang dan kini hanya dipisahkan 10 mata dengan Martin.
Justeru itu, Martin percaya dia tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dan mahu memulakan saingan di petak utama bagi membolehkannya menguasai perlumbaan tanpa tekanan.
“Sebagai seorang pelumba dan saya sentiasa mahu bersaing untuk menang. Bila anda bermula di belakang agak sukar untuk memotong pelumba lain. Saya terpaksa menggunakan lebih banyak tayar berbanding Pecco.
“Pecco sangat kuat dan dia adalah pakar dalam menguruskan tayar, jadi dia melakukan kerja yang luar biasa sewaktu di Motegi. Jadi, penting untuk memanfaatkan sesi kelayakan kerana jika anda bermula di petak hadapan, saya boleh mengawal perlumbaan.
“Tetapi, saya rasa yakin kerana biarpun bermula di petak ke-11 dan berjaya sampai ke tempat kedua, memberikan saya keyakinan yang baik untuk Australia, yang merupakan litar kegemaran saya.
“Tahun ini, saya dapat rasakan bahawa diri saya semakin baik dan matlamatnya adalah untuk bawa persaingan ini sehingga ke Valencia dan mempunyai peluang untuk memenanginya,” kata Martin. – AGENSI