PASUKAN Malaysia Pro Cycling (MPC) enggan mendabik dada selepas berjaya menjadi pasukan ketiga terbaik Asia pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang berakhir Ahad lalu.
Pengarah Sukan MPC, Sayuti Zahit berkata, proses post mortem dalam menilai pasukan yang disertai empat pelumba muda dan dua senior akan dibuat bagi memastikan mereka mampu memberikan saingan kompetitif pada saingan akan datang.
“Kita tidak akan duduk diam dan cuba perbaiki beberapa kelemahan kita untuk saingan tahun depan,” katanya.
Sebagai rekod, MPC telah ditubuhkan Sayuti pada tahun lalu, berada di kedudukan ketiga dalam klasifikasi pasukan terbaik Asia di belakang juara dari Jepun, JCL Team UKYO yang mengumpul 79 jam 35 minit dan 36 saat (s).
Tempat kedua dimiliki pasukan kebangsaan Thailand dengan 79:58:24s, manakala MPC di tempat ketiga menerusi masa 79:58:46s.
Pada LTdL kali ini, MPC mempertaruhkan empat pelumba berlatar belakang berbasikal bukit iaitu Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Muhammad Fahmi Khairul dan Muhammad Syawal Mazlin selain diperkuatkan dua tonggak senior, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil serta Muhammad Zawawi Azman.
Namun, MPC kehilangan Izzat dan Fahmi di pertengahan saingan peringkat perlumbaan kerana Over Time Limit (OTL) tetapi Sayuti masih berbangga dengan pencapaian barisan pelumba yang membuat penampilan pertama pada LTdL kali ini.
“Saya tabik dengan komitmen pelumba walaupun kita tidak letak harapan tinggi tetapi mereka dah berikan yang terbaik pada setiap peringkat.
“Meskipun kita tak dapat berada dalam kelompok 10 atau 15 terbaik, tetap semua menunjukkan peningkatan,” katanya.