PETALING JAYA – Malaysia menyatakan komitmen dan kesediaan untuk membantu usaha pemulihan rakan-rakan negara ASEAN yang terkesan dengan bencana Taufan Yagi baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam sesi pleno di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44, beliau yang mulakan ucapan dengan menzahirkan simpati buat rakyat Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam yang dibadai taufan tersebut.
“Saya juga bicarakan soal keperluan untuk ASEAN menstruktur semula ekonomi dengan memusatkannya kepada kekuatan setiap negara anggota, selain berusaha menguasai rantaian bekalan serantau.
“Langkah ini penting untuk memperluas penerokaan potensi ASEAN dalam perdagangan dan memperkukuh daya tahan ekonomi serantau, sekali gus berupaya mencapai matlamat menjadikan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Anwar, beliau turut tegaskan kepentingan untuk rakan-rakan anggota ASEAN mengutamakan dialog dan perbincangan dalam menguruskan perbezaan bagi terus ketegangan geopolitik dan polarisasi yang kian memuncak tidak memecahkan hubungan dan kerjasama ASEAN.
“ASEAN harus cekal dan kukuh pendirian dalam menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa blok ini akan kekal bersatu dan terus menjadi pemacu utama keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Oktober di Vientiane, Laos. – KOSMO! ONLINE.