PONTIAN – Angkara penyewa terlupa menutup api ketika menjerang air di dapur, rumah pusaka dua pintu yang didiami dua keluarga musnah dijilat api dalam kejadian di Lorong Yunos, Kampung Dalam di sini, petang hari ini.
Menurut penyewa, Nurul Syahira Nasrudin, 27, berkata, sebelum kejadian, dia sedang memasak air tetapi lupa untuk menutupnya sehingga air yang dimasak menjadi kering.
Katanya, ketika berada di bahagian depan bersama anaknya, anak saudaranya yang berada di dalam rumah memberitahu nampak api di bahagian dapur rumahnya.
“Saya ingat orang sedang membakar sampah tetapi melihat api di bahagian dapur lalu menjerit meminta tolong dengan pemilik rumah yang berada di sebelah rumahnya.
“Hanya sebuah motosikal yang di hadapan rumah dapat diselamatkan, yang lain semua hangus terbakar,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini, hari ini.
Tambah Nurul Syahira, ketika kejadian hanya dia bersama anak lelakinya, Muhamad Qais Thaqef berusia setahun dan anak saudaranya Nurul Natasha Abdullah, 18 tahun berada dirumah.
“Suami saya, Muhamad Taufik Shamsudin, 30 tahun sedang berkerja di Pasar Pontian,”ujarnya.
Sementara itu, pemilik rumah, Zainal Abidin Salleh, 60, ketika kejadian, dia berada di dalam rumahnya dan terdengar penyewa rumah menjerit meminta tolong rumah mengatakan rumah terbakar.
Katanya, bagaimanapun rumah dua pintu separuh papan peninggalan keluarganya yang berusia 90 tahun tidak dapat diselamatkan apabila api marak dengan cepat membakar keseluruhannya.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan, saya seperti penyewa juga tinggal sehelai sepinggang, mujur semua dapat menyelamatkan diri dengan cepat keluar dari rumah tersebut,” ujarnya yang merupakan bapa tunggal.-KOSMO! ONLINE