SEGAMAT – Seorang lelaki Orang Asli maut manakala tiga lagi mangsa cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Simpang Kampung Panca Jaya, Bekok, Labis, di sini tengah hari tadi.
Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.47 tengah hari dengan nahas melibatkan bas henti-henti dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati ada tiga mangsa di dalam Toyota Innova dengan pemandunya berusia 45 tahun tersepit, manakala dua lagi mangsa dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
“Pemandu Toyota Innova disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengalami kecederaan parah pada bahagian dada, kaki dan tangan.
“Pemandu bas turut cedera dan dikejarkan ke Hospital Segamat. Tiada penumpang di dalam bas tersebut sewaktu kejadian,” katanya.
Tambah Hafifie, pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan memotong dan mengumpil pintu kereta menggunakan peralatan Rescue Power Unit. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE