PUTRAJAYA – Selepas kejayaan mengeksport durian segar ke China baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat supaya komoditi itu diuruskan di bawah satu fungsi sebuah lembaga.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sudah tiba masanya sebuah lembaga yang menguruskan komoditi durian ditubuhkan.
“Saya berpendapat, komoditi durian dapat diuruskan dengan peluasan fungsi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan menggabungkan komoditi nanas, kelapa dan juga durian.
“Hal ini penting supaya hasrat kita untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan dapat dicapai melalui ketiga-tiga komoditi ini yang sememangnya mendapat permintaan yang begitu tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Katanya, pada 4 Oktober lalu, sebanyak 40 tan metrik durian segar Malaysia telah habis terjual dalam masa 24 jam di pasaran China, manakala bagi nanas pula, negara hanya mampu mengeksport 800 kontena setahun berbanding permintaan 4,000 kontena setahun.
Selain itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) KPKM hendaklah bekerjasama rapat ke arah merealisasikan impian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE