PETALING JAYA – Pernah berdepan perceraian, selebriti versatil Didie Alias menasihatkan pasangan yang bercerai supaya tidak memburukkan dan menjaga aib masing-masing sehingga ke akhir hayat.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. Ali, 52 berkata, perpisahan perlu didepani dengan tabah meskipun pahit ditelan agar maruah serta darjat diangkat Allah dengan lebih tinggi.
“Perpisahan itu sakit, bahagia itu indah. Apabila terjadinya perpisahan, jagalah aib, baik dan buruk sesama hingga ke akhir ayat.
“Manis ditelan, pahit pun ditelan.
“Baru darjat kita diangkat sangat tinggi dan dipandang mulia, kita sudah janji dengan Allah,” katanya menerusi Instagram Story.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, netizen berpendapat perkongsian itu dibuat susulan kes perceraian pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura.
Hantaran tersebut kemudian dimuat naik semula seorang peminat dalam aplikasi TikTok sekali gus dibanjiri komen netizen yang memuji sikap pelakon filem Presiden Kampung Morten itu apabila bercerai secara aman tanpa ‘melondehkan’ keburukan pasangan suatu ketika dahulu.
“Setuju dengan pendapat Didie, dia dahulu pun bercerai secara baik, tiada pula mahu hebohkan aib bekas suami, masih berbaik sampai bekas suami meninggal,” kata seorang netizen.
“Didie, Erra, Nora, antara contoh artis yang berpisah dan senyap sahaja selepas itu, tiada episod derita dijaja dalam sosial media,” komen seorang lagi pengguna media sosial.
Terdahulu, Didie mendirikan rumah tangga pada 8 Mei 2009 dengan Isham yang merupakan bekas pemain bola sepak pasukan Negeri Sembilan.
Hasil perkahwinan itu, Didie dan suami dikurniakan seorang anak lelaki, Dayyan yang kini berusia sepuluh tahun.
Sebelum itu, Didie turut mempunyai lima orang anak hasil perkahwinan dengan bekas suami, Allahyarham pelakon Ridzuan Hashim iaitu Nor Dhaniyah, 31, Mohd Dhanial, 30, Nur Dinie, 28, Nur Dayini, 26, dan Nur Diyana, 25. – KOSMO! ONLINE