fbpx

Finas bangga dengan pencapaian Anna Jobling di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamil Othman berkata, amat mencabar bagi pelakon Malaysia untuk mendapat kepercayaan memegang peranan utama dalam filem terbitan negara seberang.

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memuji pencapaian Anna Jobling selaku pelakon filem Indonesia, Lembayung dan Laut Tengah apabila menjadi kebanggaan bukan sahaja untuk dirinya, bahkan industri perfileman Malaysia.

Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berkata, amat mencabar bagi pelakon Malaysia untuk mendapat kepercayaan memegang peranan utama dalam filem terbitan negara seberang memandangkan filem tempatan sukar menambat hati penonton di sana.

“Walaupun beberapa pelakon Malaysia berjaya mencipta nama di Indonesia terutama dalam siri televisyen, Anna benar-benar layak menerima pujian kerana berjaya memegang watak utama dalam filem yang ditayangkan di pawagam.

“Ini adalah pencapaian yang kita patut banggakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kamil, beliau secara peribadi yakin kejayaan Anna akan memperkukuhkan lagi hubungan antara industri filem Malaysia dan Indonesia sekali gus membuka jalan untuk lebih ramai bakat tempatan menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Kami di Finas berharap kerjasama antara Malaysia dan Indonesia akan semakin kukuh dengan lebih banyak projek filem bersama yang komersial terutama apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan,” ujarnya.

Beliau juga menambah Finas sedang merangka dasar dan strategi baru untuk memajukan industri perfileman tempatan ke peringkat global.

Sementara itu, Anna meluahkan rasa syukur dan gembira dengan penghargaan yang diberikan Pengerusi Finas itu.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan yang diberikan. Kejayaan ini bukanlah milik saya seorang, tetapi hasil sokongan ramai termasuk pihak pengurusan saya, pasukan produksi dan peminat.

“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelakon dan penggiat seni tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya juga teruja untuk terus berusaha mengangkat nama industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam masa sama, Anna kini sedang dalam pembikinan filem Duyung – Legenda Aurora bersama bintang terkenal seperti Maya Karin, Saiful Apek, dan Datuk Yusry Abdul Halim.

Filem itu dijangka akan ditayangkan pada September 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI