LONDON – Perpindahan mengejut Lewis Hamilton dengan menyertai pasukan Ferrari bagi musim Formula Satu (F1) 2025 bakal membuka lembaran baru buat juara dunia tujuh kali itu untuk kembali mencabar kejuaraan dunia.
Hamilton yang membuat pengumuman mengejut dengan meninggalkan Mercedes selepas lebih sedekad bersama pasukan itu, kini bersedia menyertai gergasi Itali, Ferrari terutama membawa satu misi besar untuk menoktahkan gelaran dunia F1 buat kali kelapan dirinya.
Charles Leclerc yang akan bergandingan dengan Hamilton musim depan meletakkan keyakinan cukup tinggi terhadap pemandu Britain tersebut terutama memacu Ferrari ke arah lebih cemerlang dan kompetitif terutama untuk mencabar gelaran dunia.
“Ketika ini, peningkatan prestasi pada jentera 2024 sangat baik dan kami hanya perlu masa untuk menyempurnakan beberapa aspek. Benar, kami akan berusaha mencabar kejuaraan dan itu akan menjadi tajuk utama.
“Saya akan katakan bahawa musim 2025 akan menjadi lebih baik, 2026 lebih baik dan 2027 pasukan ini akan cemerlang. Saya tiada sebarang keraguan kerana Ferrari akan membuat kemajuan tahun depan dengan peningkatan prestasi,” katanya.
Bagi Leclerc, menjalinkan dengan pelumba yang telah memenangi segalanya dalam F1 bakal menjadi pengalaman yang sangat berharga kepadanya.
“Saya nak tahu dan ingin melihat apa yang telah dilakukan Hamilton sepanjang kariernya sehingga berjaya mencipta kejayaan luar biasa dalam F1.
“Hamilton seorang yang sangat konsisten, pantas dan saya tidak tahu kelemahan dia. Jadi, 2025 akan menjadi tahun sangat menarik untuk saya belajar dengan dia,” tambah Leclerc. – AGENSI