fbpx

Dadah ‘Apple Merah’ 613kg disimpan dalam tong ovalette tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin menunjukkan tong ovalette yang digunakan sindiket untuk memasukkan dua paket syabu. FOTO NURUL NAJWA HASRAN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat sindiket dadah dan merampas syabu seberat 613.177 kilogram (kg) bernilai RM19.58 juta menerusi dua operasi berasingan di Lembah Klang, 7 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 22 hingga 48 tahun dan tiga daripada mereka merupakan warga Thailand.

Katanya, tiga suspek termasuk dua wanita warga Thailand yang mana lelaki tersebut berperanan sebagai penjaga stor di sebuah rumah sekitar Bandar Manjalara Kepong, di sini.

“Polis menjumpai 250 bungkusan syabu (255.574 kg) bertulisan ‘Guanyinwang’ yang bernilai RM8.18 juta yang boleh digunakan oleh seramai lebih 1.2 juta penagih dadah.

“Suspek menjadikan rumah sebagai stor dan tempat pembungkusan semula iaitu dengan memasukkan dua paket syabu (RM66,000) yang dikedapkan ke dalam tong pengemulsi kek (ovalette) sebelum diedarkan ke pasaran luar negara dan Lembah Klang,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan suspek direman selama tujuh hari bermula 8 Oktober mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jelasnya, bagi serbuan kedua pula, polis merampas 357.603 kg syabu bernilai RM11.4 juta selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di hadapan premis sekitar Taman Perindustrian Kip Kepong, di sini, kelmarin.

“Lelaki terbabit bertindak sebagai penjaga stor serta ‘transporter’ ketika ditahan sedang memunggah guni-guni dari bonet Perodua Ativa untuk masuk ke dalam premis yang baru disewa selama empat hari.

“Polis menjumpai 350 paket ‘Apple Merah’ yang mengandungi syabu yang boleh digunakan 1.78 juta penagih dadah manakala dadah ini dipercayai adalah untuk diedarkan sekitar kawasan Lembah Klang dan sindiket bergiat aktif sejak awal tahun.” jelasnya.

Ujar beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula 8 Oktober.

Menurut beliau, kesemua suspek bagi dua kes ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan negatif dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI