fbpx

Buruh gagal lolos, kereta terbabas rempuh kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta dinaiki dua suspek yang terbabas dan melanggar sebuah kedai makan di Taman Kenari, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Cubaan dua individu melarikan diri daripada polis gagal apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar kedai makan di Taman Kenari, di sini awal pagi tadi.

Penahanan dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an kira-kira pukul 1.10 pagi itu membawa kepada penemuan satu jaket dengan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan alat pemotong.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kereta jenis Honda dinaiki suspek dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh anggota unit kereta peronda (MPV) di Sungai Layar, di sini.

“Anggota polis mengekori kereta itu dan mengarahkan pemandunya supaya berhenti, namun suspek memecut sehingga ke simpang Taman Kenari Jaya.

“Dalam usaha melarikan diri selepas dikejar dua kereta peronda polis, suspek bertindak agresif menghimpit salah sebuah MPV polis sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kereta dinaiki suspek pula terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan kedai makan.

“Anggota polis seterusnya menahan pemandu lelaki dan penumpang wanita. Pemeriksaan menemui satu vest lambang polis dan alat pemotong di dalam kereta tersebut,” ujarnya.

Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 10 rekod jenayah dan dua dadah, manakala wanita pula yang merupakan operator kilang mempunyai tiga rekod kes dadah. Kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI