fbpx

Bukan sahaja sesat, tapi ini soal bodoh – Mufti Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Maza.

PETALING JAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan para pengikut GISB Holdings (GISBH) bukan sahaja sesat, malah tidak bijak dalam membezakan antara perkara yang benar dan salah di sisi agama.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza berkata, kepercayaan bahawa terdapat keberkatan pada tubuh badan guru merupakan perbuatan khurafat yang amat dahsyat.

Katanya, meskipun Al-Arqam sudah lama difatwakan sesat, namun asas penubuhan semula kumpulan itu yang masih mengekalkan pemujaan terhadap tokoh mereka adalah sama.

“Saya tanya kepada ahli dia yang terbabit itu, berulang kali saya tanya hal ini dan sekarang ini kita tengok yang keluar semua mengaku benda sama.

“Janggut, air basuhan kaki, basuhan tisu. Kultus ni mempunyai kepercayaan bahawa guru mereka mengandungi satu keberkatan pada tubuh mereka. Khurafat yang begitu dahsyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap (KS) yang dikendalikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan.

Tambah Dr. Maza, walaupun unsur mengagungkan tokoh agamawan sudah lama ada dalam masyarakat Melayu, ianya tidak boleh dilaksanakan secara berlebih-lebihan.

“Kalau sekadar ringan-ringan contohnya, ‘ambil keberkatan enta Sheikh’, ia tak sampai kepada melampau.

“Tapi kalau sampai menganggap dengan ‘awak minum air ni awak diberi kekuatan’ atau ‘dengan tongkat yang diberi oleh Abuya itu ada satu kuasa yang dapat menghancurkan kuasa-kuasa besar yang lain’ ianya bukan sahaja soal sesat, tapi soal bodoh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Maza juga menegaskan terdapat dua sistem atau perkara penting yang mencorakkan agama seseorang iaitu membabitkan kepercayaan dan amalan.

Katanya, jika amalan salah tetapi tidak diikuti dengan kepercayaan yang salah, seseorang individu tidak akan menjadi sesat.

“Tapi kalau kepercayaan salah, walaupun tidak ada amalan, maka seseorang itu akan jadi sesat,” katanya.

Sebelum ini, Dr. Maza merupakan antara individu yang terawal berusaha mengkaji isu GISBH bertahun lamanya namun tiada tindakan diambil pada ketika itu.

Perlis juga merupakan negeri pertama yang mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai satu kumpulan ajaran sesat.

Ia setelah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd didapati mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI