KLUANG – Berikutan keadaan cuaca yang semakin baik apabila tiada hujan turun sejak Ahad lalu, dua daripada empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Simpang Renggam ditutup hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, dua PPS yang masih beroperasi adalah di Sekolah Kebangsaan Sungai Linau dan Dewan Orang Ramai Kampung Kolam Air yang masing-masing menempatkan 177 mangsa dan 58 mangsa.
“Manakala dua PPS yang ditutup adalah Dewan Terbuka Kampung Paya Palembang dan Balai Raya Kampung Parit Haji Hashim,” katanya melalui laporan terakhir pukul 8 pagi hari ini.
Dalam pada itu, di daerah Batu Pahat, PPS Sekolah Kebangsaan Sri Bunut masih dibuka seperti biasa manakala, di Pontian pula, tiga PPS kekal beroperasi dan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Johor menurun kepada 527 orang berbanding 630 mangsa dilaporkan petang semalam. – KOSMO! ONLINE