JOHOR BAHRU – Dianggarkan seramai dua juta pengembara menggunakan aplikasi kod QR MyRentas di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, sejak pelaksanaan pelepasan imigresen menggunakan kod QR, 1 Jun lalu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Jati Jana (M) Sdn. Bhd., Azril Rizal Abdullah berkata, penggunaan aplikasi itu berjaya mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas yang berulang alik pada waktu puncak dari dua jam sebelum ini, kepada hanya 15 minit.
Katanya, pengembara yang merentas sempadan antara Malaysia-Singapura, di sini, menggunakan aplikasi kod QR MyRentas di BSI dan aplikasi MyTRIP di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah.
“Berdasarkan data statistik yang diperoleh, purata penggunaan MyRentas oleh setiap pengguna adalah sebanyak 29 kali sejak sistem ini diperkenalkan. MyRentas berjaya memendekkan masa pelepasan antara 30 hingga 45 saat kepada kurang dari lima saat untuk seorang pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azril Rizal berkata, applikasi MyRentas juga bersedia untuk diguna pakai di laluan kereta dan penggunaannya boleh diperluas untuk pengembara warga Singapura, selain kebolehupayaan untuk berintegrasi dengan sistem dari negara-negara jiran.
Pada 1 Jun lalu, Jabatan Imigresen (JIM) melancarkan MyRentas, iaitu sistem kod QR rentas sempadan ke Singapura, inisiatif proaktif jabatan itu bagi menangani masalah kesesakan di sempadan Malaysia-Singapura terutama di BSI.
Buat masa ini, MyRentas hanya boleh digunakan oleh pengguna bas warga Malaysia di pintu masuk BSI dengan aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Android Play Store,” katanya.