fbpx

10,000 liter sisa minyak disedut kes cemar Sungai Gong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan aliran pencemaran sisa minyak di Sungai Gong yang dikesan LUAS

SHAH ALAM – Sejumlah 10,000 liter isipadu air tercemar dengan sisa minyak berjaya disedut dan dibersihkan susulan pencemaran di Sungai Gong.

Pencemaran bau yang dikesan 9.50 pagi kelmarin itu berpunca daripada kebocoran tangki disyaki minyak milik sebuah kilang di kawasan industri Rawang dekat sini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, ini susulan kerosakan injap pada tangki dengan kapasiti 1.84 meter padu dengan dianggarkan 1.23 meter padu kapasiti aliran minyak melimpah keluar dan memasuki longkang berhampiran serta seterusnya ke Sungai Gong.

Katanya, aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri iaitu LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3.

Jarak lokasi pencemaran sehingga empat LRA itu adalah antara 21 hingga 25.68 kilometer (km).

“Pihak premis telah diarahkan menghentikan aliran minyak tersebut serta-merta termasuk meletakkan pasir di kawasan tumpahan minyak di dalam premis sebagai tindakan kawalan.

“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga telah mengeluarkan Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan pembersihan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan LUAS turut meletakkan sebanyak empat unit oil boom dan 22 keping oil pad di keseluruhan longkang dan premis terlibat serta di Sungai Gong.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kesemua lokasi terlibat merangkumi di Sungai Gong, dalam premis dan kawasan longkang berhampiran telah dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh premis berkenaan serta selesai hari ini.

“Sebanyak 10,000 liter isipadu air yang tercemar dengan sisa minyak telah dibersihkan dan disedut melibatkan 1 buah lori tangki berkapasiti 13,000 liter.

“LUAS seterusnya telah melakukan verifikasi di semua lokasi terlibat dan ia berjaya dikawal sepenuhnya dengan bacaan bau serta keadaan sungai adalah normal,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, pensampelan dibuat LUAS di kesemua lokasi berkaitan insiden telah dihantar untuk analisis Jabatan Kimia.

“Kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 telah dibuka bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI