fbpx

Subsidi Diesel bersasar: Dua lelaki mohon kebenaran semakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman tindakan Perdana Menteri dan tiga menteri kabinetnya menyasarkan subsidi diesel bersasar dengan penetapan harga runcit RM3.35 untuk setiap liter, berbanding harga asal RM2.15, pada 10 Jun lalu.

Azhani Marlan @ Abd Halim, 47, dan Mohd. Hatta Sanuri, 48, selaku pemohon pertama dan kedua, memfailkan semakan itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam menerusi Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail.

Mereka menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta kerajaan masing-masing sebagai responden pertama hingga keenam.

Berdasarkan dokumen yang pemohon memohon, antaranya perisytiharan bahawa keputusan semua defendan adalah tidak rasional, tidak munasabah, tidak wajar, tidak logik, tidak adil serta tidak sah di sisi undang- undang.

Mereka mendakwa, ia melanggar hak sama rata setiap warganegara menurut Perkara 8(1), (2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon turut mendesak perisytiharan subsidi diesel seperti harga asal RM2.15 atau harga subsidi yang lain seperti sebelum ini menurut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara Jadual 1 Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di Semenanjung Malaysia dikembalikan, dikuatkuasakan dan diberikan semula kepada semua rakyat di Semenanjung Malaysia.

“Kami juga memohon perintah perisytiharan bahawa keputusan kerajaan itu adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang. Tindakan semua responden menyebabkan rakyat di Semenanjung menderita akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mendadak dan tinggi,” kata pemohon.

Pada masa sama pemohon berharap, kerajaan dapat membayar semula dan semua pengguna lebihan bayaran diesel mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk ditaksirkan kepada mereka termasuk pengguna diesel.

Ia termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang bakal ditaksirkan oleh mahkamah, kepada semua rakyat di semenanjung.

Ini memandangkan penetapan harga runcit diesel hanya melibatkan pengguna di Semenanjung dengan pengecualian penuh untuk seluruh Sabah dan Sarawak termasuk Labuan.

Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.

Beliau berkata penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI