fbpx

Seludup kokain 62kg dari India ke AS guna kontena sejuk beku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUL IZMEER (dua dari kiri) menunjukan dadah kokain dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan sindiket penyeludupan dadah dengan merampas 62 kilogram (kg) dadah disyaki kokain di dalam kontena sejuk beku di sebuah pelabuhan di Gelang Patah, 1 Oktober lalu.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, penemuan dadah berjumlah RM12 juta itu merupakan rampasan terbesar dilakukan anggota penguatkuasaan itu pada tahun ini.

Beliau berkata, hasil risikan selama sebulan, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas kontena yang diikrar membawa udang segar itu menjumpai 62 bungkusan plastik berbentuk segi empat tepat yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.

“Siasatan awal mendapati dagangan telah diikrar sebagai udang segar sejuk beku berjumlah 19,000kg yang bernilai RM735,000 melalui Borang Kastam 6 (Manifest Transhipment) dan Bill of Lading.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas salah satu bungkusan menemukan serbuk mampat berwarna putih yang disyaki dadah jenis kokain.

“Kita dapati kontena yang tiba tiga hari lalu itu dibawa dari India dan menjadikan sebuah pelabuhan di sini sebagai transit sebelum dihantar ke Miami, Amerika Syarikat (AS),” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam di sini hari ini.

Aminul Izmeer berkata, modus operandi sama itu turut dikesan ketika membuat rampasan dadah yang sama di lokasi yang sama di dalam kontena, kira-kira lima bulan lalu.

“Pada Mei lalu, kita telah mengesan modus operandi yang sama apabila sindiket penyeludupan ini turut menyembunyikan ketulan dadah di ruang pendingin hawa kontena yang membawa muatan bawang.

“Kontena itu dibawa daripada China turut menjadi pelabuhan itu sebagai transit sebelum dihantar ke Kuching, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, ada kemungkinan kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa itu dilakukan sindiket penyeludupan dadah yang berbeza.

Tambahnya, pihaknya turut menyiasat syarikat pengimport terbabit selain bekerjasama dengan agensi penguat kuasa di luar negara bagi membanteras kegiatan sindiket penyeludupan dadah merentas sempadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI