SHAH ALAM – Rata-rata pengunjung menyifatkan penganjuran Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ 2024) adalah satu program yang sangat lengkap merangkumi semua produk dan perkhidmatan di bawah satu bumbung.
Selain pelbagai produk tersedia, ekspo anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu juga menjadi platform buat para usahawan memperkenalkan produk mereka.
Menurut salah seorang pengunjung, Normah Samsudin, 66, dia tertarik untuk berkunjung ke ekspo ini kerana mengetahui adanya Jualan Ehsan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Walaupun menetap di Rawang, Selangor, pesara kerajaan itu berasa teruja apabila melihat pelbagai produk yang diperkenalkan oleh para usahawan tempatan.
Katanya, anjuran ekspo ini merupakan usaha terbaik PKNS dan kerajaan negeri untuk membantu usahawan dan para peniaga kecil berusaha mengorak langkah menembusi pasaran global.
“Saya lihat semua produk jualan pun sedap dan bermutu tinggi, setanding dengan ekspo berskala besar.
“Bagi saya ekspo sebegini boleh melahirkan usahawan berdaya saing dan sentiasa merebut peluang.
“Sebab peluang sudah disediakan depan mata, maka mereka (peniaga) tinggal rebut sahaja,” katanya ketika ditemui.
Bagi seorang pekerja swasta, Ahmad Nabil Ismail, 29, dia pula mengetahui penganjuran ekspo ini menerusi media sosial sebelum berkunjung bersama keluarga bagi mengisi masa lapang pada hujung minggu.
Katanya yang menetap di Sungai Buloh, kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ditonjolkan pada SELBIZ 2024 kali ini membuatkan dirinya berasa tertarik untuk datang buat kali kedua selepas berkunjung pada tahun lepas.
“Tahun lepas saya pernah datang juga dengan keluarga. Jadi tahun ini bila lihat sahaja iklan di media sosial, terus rasa berminat untuk berkunjung lagi.
“Saya suka datang sini sebab boleh cari pelbagai produk dalam satu tempat. Paling menarik, ada barangan dijual oleh usahawan kecil tempatan yang tak pernah saya ketahui sebelum ini.
“Ekspo ini memang bagus sebagai platform untuk usahawan memperkenalkan produk mereka dalam rangkaian yang lebih luas lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung lain, Lily Shah, 35, berkata, penganjuran ekspo ini amat membantu usahawan sepertinya untuk mempelajari ilmu terbaharu berkaitan selok belok dunia perniagaan.
Katanya yang juga merupakan usahawan di bawah PKNS, penganjuran SELBIZ 2024 bukan sahaja lebih kepada menjual dan membeli tetapi memberi peluang kepada usahawan untuk berkenalan dengan agensi-agensi terlibat.
“Saya baru sahaja menyertai usahawan di bawah PKNS tahun ni dan sebelum ini tak pernah sertai ekspo sebegini.
“Jadi hari ini kunjungan saya membuka mata untuk mempelajari macam mana para pempamer buat persediaan dan lakukan pemasaran.
“Ekspo ini bukan hanya fokus beli dan jual sahaja tetapi ada juga kelas-kelas disediakan dan dibawa juga agensi-agensi terlibat datang. Harap selepas ini saya dapat sertai sebagai pempamer pula,” katanya. -KOSMO! ONLINE