BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sedar kedudukan mereka masih belum selamat untuk melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China pada Disember depan.
Ia gara-gara mereka terpaksa menarik diri daripada menyertai dua kejohanan, Terbuka Arctic yang sedang berlangsung di Vantaa, Finland serta Terbuka Denmark minggu depan.
Keputusan itu terpaksa dibuat selepas Ee Wei baru sahaja pulih daripada kecederaan lengan akibat terkena serpihan kaca ketika menjalani latihan hujung bulan lalu sehingga menyebabkan dia menerima 16 jahitan.
“Ini kali pertama perkara ini (tarik diri) berlaku kepada saya. Buat masa ini, memang tidak ada sebarang perancangan untuk menyertai mana-mana kejohanan, memang belum selamat lagi (peluang ke WTF).
“Kita tengok dulu keadaan macam mana dalam tempoh dua minggu ini. Kemudian barulah kami akan membuat rancangan berhubung pertandingan seterusnya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Ketika ini, Tang Jie-Ee Wei masih berada pada kedudukan terbaik untuk layak ke WTF apabila menghuni tangga kedua ranking Jelajah Dunia, namun diekori rapat dua beregu profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai (No. 3) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (No. 5).
Sementara itu, Ee Wei turut mengakui masih belum dapat menampilkan aksi terbaik memandangkan kecederaan tersebut menyebabkan dia berdepan kesakitan ketika melakukan pergerakan.
“Sekarang saya pun mula menjalani latihan, memang ada rasa sakit tetapi semuanya baik sahaja. Plaster di tangan juga sudah dibuka tetapi saya masih berhati-hati kerana bimbang terjatuh,” ujarnya.