fbpx

Pegawai kewangan GISBH antara tiga individu disambung reman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara suspek berkaitan GISBH yang dibawa untuk prosiding reman hari ini. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang pegawai kewangan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) antara tiga individu yang dilanjutkan reman sehari dan dua hari bagi membantu siasatan kes pengekploitasian kanak-kanak.

Perintah lanjutan reman terhadap ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia 40 hingga 50 tahun dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali setelah permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada prosiding sama tiga lagi suspek termasuk peguam dibebaskan dari reman.

Keenam-enam suspek telah direman selama tujuh hari yang mana tamat hari ini.

Peguam Rosli Kamaruddin berkata, sambungan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, seorang peguam pemerhati yang sebelum ini direman tujuh hari turut dibebaskan hari ini.

“Peguam itu ditahan di Changlun, Kedah. Polis nak sambung (reman) tetapi kita berhujah dan mahkamah setuju melepaskan kerana tiada keperluan untuk siasatan.

“Sebab peguam nak lari ke mana dan ada firma,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding tersebut hari ini.

Beliau turut memaklumkan tiada keperluan untuk menahan terus- menerus bagi semua suspek yang terlibat dalam GISBH.

“Kerjasama akan diberikan semua suspek dan begitu juga peguam. Kita tidak akan melakukan tindakan yang melawan pihak berkuasa.

“Malah, kita semua bertanggungjawab untuk membantu kerajaan dan pihak polis. Bagaimana orang yang ditahan diulang reman berkali-kali, bagaimana dengan kanak-kanak di pusat jagaan. Kami pun hendak bantu,” katanya.

Tegasnya, pihaknya juga tidak mahu semua suspek terlibat dalam GISBH ditahan berterusan tanpa sebarang jawapan (akan dibebaskan pihak berkuasa).

“Tangkap-tangkap atas pengabaian. Kalau berlaku pengabaian itu, risiko itu kepada Jabatan dan pihak kerajaan.

“Kita tak mahu itu berlaku. Kita mahu kes diselesaikan dengan baik, kalau ada kesalahan jenayah, go for it, tuduh. Jadi, kita tak mahu ditahan berterusan tanpa penghabisan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam Najib Zakaria menegaskan, pihak difahamkan terdapat tangkapan semula yang disifatkan penganiayaan kepada mereka.

“Sebab ada antara mereka telah ditahan selama 18 hari dan kalau mereka tidak dibiarkan bebas sepenuhnya maksudnya sia-sia (setiap kali prosiding di) mahkamah. Tangkap balik lepas ini sambung balik. Sampai bila, sampai mereka (pihak berkuasa) puas hati.

“Peguam mana dilantik sekalipun akan jadi sia-sia. Pihak Imigresen boleh senarai hitamkan (suspek-suspek terlibat) untuk pergi luar negara.

“Jadi, harap PDRM bertimbang rasa kerana siasatan boleh diteruskan dan mereka (suspek-suspek) memberikan sangat kerjasama baik dengan diakui pegawai penyiasat,” katanya.

Turut mewakili suspek-suspek para prosiding hari ini adalah Peguam Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.

Difahamkan, terdapat prosiding reman terhadap 24 pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH pada esok dan lusa di Kuala Lumpur.

Setakat ini, seramai 93 ahli GISBH masih lagi direman manakala 34 individu lain ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

PDRM turut mengesahkan telah membekukan 206 akaun berkait GISBH bernilai lebih RM1.35 juta dengan melibatkan 205 akaun bank serta satu akaun bank bernilai USD1,344.26 (RM5,688.80).

Pembekuan akaun dan harta berkait GISBH diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) selain turut membekukan pelbagai aset iaitu 31 kereta dan bas pelbagai guna serta 19 lot tanah.

Sebanyak 19 kereta dan sebuah lori, wang tunai RM16,850, dua jam tangan jenama Amazfit dianggarkan bernilai RM600 serta pelbagai jenis haiwan dianggarkan bernilai RM230,000 turut di sita. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI