KUALA LUMPUR – Penyanyi Marsha Milan Londoh mengesahkan namanya tersenarai antara penerima Anugerah Darjah Kinabalu (ADK) sempena ulang tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71.
Marsha atau nama lengkapnya Marsha Milan Londoh, 39, dia bersyukur dimaklumkan sebagai antara penerima pingat tersebut menerusi Instagram rasmi syarikat rakamannya, Alternate Records & Talents.
“Alhamdulillah saya syukur apabila dimaklumkan untuk menjadi penerima anugerah ADK.
“Namun, sejujurnya saya tidak berani hendak memberikan sebarang kenyataan kerana masih belum menerima anugerah tersebut secara rasmi,” katanya ketika ditemui dalam sidang media program realiti A Milion Voice (AMV) di ibu negara, semalam.
Marsha yang tersenarai antara 274 penerima ADK edisi kali ini turut memberitahu, anugerah tersebut menjadi pembakar semangat buat dirinya terus memperjuangkan budaya dan muzik dari negeri Sabah.
Bahkan, penyanyi lagu Hening Rindu itu berkata, segala usaha dicurahkan untuk mengangkat martabat Sabah bukan bertujuan untuk mengejar sebarang pengiktirafan.
“Selepas 20 tahun dalam industri saya tidak pernah jemu untuk mempromosi budaya dan muzik negeri asal kelahiran saya.
“Jika tidak dapat pingat pun, saya tetap akan berusaha untuk mempromosi budaya negeri saya.
“Saya akan gunakan platform yang ada untuk kongsi karya dari Sabah ke Semenanjung,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Marsha akan muncul sebagai juri AMV yang merupakan program realiti pencarian bakat nyanyian bagi siaran aplikasi penstriman (OTT).
Selain Marsha dua lagi penyanyi senior turut terlibat sebagai juri program tersebut ialah Datuk Awie dan Datuk Hattan.
Pencarian bakat bagi sesi pertama bermula hujung Oktober ini yang dibuat secara dalam talian dengan cara menghantar video persembahan mereka melalui media sosial. – KOSMO! ONLINE