fbpx

Koleksi jean vintaj dari tahun 1912

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROY HO memiliki lebih 100 koleksi jean vintaj.

FABRIK denim yang menghasilkan seluar jean merupakan antara fabrik yang kekal relevan sehingga kini.

Malah, kebanyakan seluar yang diperbuat daripada fabrik ini, biarpun sudah berusia ratusan tahun tetap menjadi buruan ramai khususnya bagi golongan pengumpul atau collector.

Sesuai digayakan sebagai pakaian harian, pakaian diperbuat daripada denim vintaj dengan gaya tertentu juga unik menjadikan ia adakalanya dijual pada harga yang tinggi.

Minat memburu pelbagai jenis koleksi seluar jean vintaj menjadikan seorang lelaki berasal dari Sabah kini bergelar pengumpul koleksi jean, khususnya daripada jenis vintaj dan edisi terhad.

Roy Ho, 30, dari Sandakan berkata, minatnya terhadap jean bermula 12 tahun lalu ketika dia berusia 18 tahun.

“Saya mula mengumpul jean vintaj sejak 12 tahun yang lalu kerana minat terhadap seluar ini.

“Jika ditanya tentang jumlah jean vintaj yang saya miliki, sejujurnya saya tidak pernah kira kerana saya akan membeli dan memburu jean-jean ini sekiranya sukakan rekaannya.

“Barangkali, ia sudah mencecah lebih 100 pasang,” katanya kepada Stailo.

Roy mengumpul pelbagai jenis seluar jean pelbagai jenama antaranya Levi’s, EDWIN dan Wrangler dalam pelbagai potongan dan juga warna.

Namun, jean berwarna biru pekat atau jean yang mengekalkan 70 peratus daripada warna asalnya menjadi warna jean paling disukainya.

Set denim baju dan seluar Koveralls dari tahun 1912 ini merupakan jean tertua yang ada dalam koleksi Roy.

Bagi Roy, setiap seluar jean ini, khususnya rekaan vintaj dan edisi terhad mempunyai tarikan tersendiri, membuatkan dia tidak kisah jika terpaksa berbelanja besar untuk mendapatkannya.

Selain dijadikan sebagai pakaian harian, Roy tertarik untuk mengumpul jean kerana nilainya yang tinggi dan akan semakin meningkat.

“Berbanding jean baharu, koleksi jean yang semakin lama disimpan akan mempunyai nilai yang lebih tinggi dan mahal,” katanya.

Bercakap tentang koleksi jean lama dan berharga, Roy berkata, jean tertua yang juga menjadi jean paling berharga yang dimilikinya adalah keluaran Levi’s Koveralls yang dihasilkan pada tahun 1912.

Koveralls merupakan set baju dan seluar coverall denim unisex yang dihasilkan Levi’s untuk kanak-kanak dari usia satu hingga lapan tahun. Selain rekaan yang comel, fabrik denimnya juga adalah daripada jenis lembut dan selesa untuk dipakai biarpun dalam cuaca panas.

Ujar Roy, Levi’s Koverall tersebut biarpun sudah lusuh, namun masih berada dalam keadaan elok dan boleh dipakai.

Roy membelinya daripada seorang pengumpul jean dari Thailand beberapa tahun lalu pada harga sekitar RM1,500.

“Namun, dianggarkan nilainya kini sudah meningkat menjadi RM10,000, memandangkan ia sudah sukar didapati di mana-mana,” katanya yang tidak bercadang untuk menjual jeans tersebut.

Selain Levi’s Koverall, Roy turut mengumpul jeans Levi’s dari tahun 1967 yang turut dipamerkan pada pembukaan cawangan terbesar Levi’s di Asia Tenggara yang terletak di Suria KLCC bulan lalu.

Jeans 501 itu menampilkan rekaan getah pinggang dengan jahitan V, sekali gus menjadikan ia koleksi unik yang membezakannya dengan kebanyakan koleksi jean Levi’s yang lain.

Berkongsi tentang tip penjagaan seluar jean pula, Roy mencadangkan agar jean disimpan di dalam beg berzip bagi mengekalkan kualitinya.

“Memandangkan Malaysia merupakan negara dengan cuaca panas, saya mencadangkan agar jean disimpan di dalam beg berzip bagi mengekalkan kualiti dan warnanya.

“Selain itu, elakkan daripada membasuhnya dalam mesin basuh dan apabila mencucinya dengan tangan pula, usah gosok jean anda dengan kuat kerana ia boleh menjejaskan warna serta kualitinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI