fbpx

Kenyataan PM dalam wawancara Mehdi Hasan tepat, berasas – Mohd. Naim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im

PETALING JAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan pada 7 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar berkata, Perdana Menteri dengan tegas menyebut tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran.

“Apabila diwawancara tentang undang-undang hudud di Malaysia, Perdana Menteri telah memberi maklum balas ia memerlukan konsensus. Bagaimanapun, keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat.

“Kenyataan Perdana Menteri dalam isu tersebut adalah tepat dan berasas dengan mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Naim berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengambil langkah untuk memperkukuh sistem perundangan dan kehakiman syariah secara komprehensif.

Jelas beliau, ia meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi Hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah.

Pada masa sama, katanya, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem kehakiman syariah.

“Kerajaan Madani melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mendokong agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah dengan meletakkan ia sebagai salah satu fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027.

“Kesemua usaha ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI