PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadualkan berlangsung hari inisehingga 11 Oktober di Vientiane, Laos.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri turut menghadiri Sidang- Sidang Kemuncak antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu, Australia, China, Jepun, India,Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.
Ini termasuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Selain itu, Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil daripada Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang- Sidang Kemuncak Berkaitan akan memberi peluang bagi Malaysia berkongsi perspektif negara secara aktif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, antara isu yang bakal diketengahkan ialah usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau selain integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu dan baru muncul.
“Ini termasuk isu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar.
“Malaysia juga akan menyatakan kedudukannya berkaitan isu Laut China Selatan, dan perkembangan di Myanmar, Palestin dan Timur Tengah,” katanya.
Menurut Kementerian Luar, penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan menzahirkan komitmen teguh negara terhadap ASEAN, usahanya untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau.
Semasa majlis penutup sidang kemuncak itu, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. – KOSMO! ONLINE