PELUANG menentang pasukan di ranking lebih atas hanya akan menjadi sia-sia sekiranya pemain negara tidak mengambil peluang untuk mempelajari ilmu baharu dengan pemain lebih berkualiti.
Rumusan itu dizahirkan sendiri oleh pengendali negara, Pau Marti Vicente yang bakal mengetuai pasukan pada aksi persahabatan kelas A menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Isnin ini.
“Saya fikir kami perlu teruskan lagi apa yang kami sudah mulakan sebelum ini. Kami perlu pastikan yang kami kekal berkembang dan saya tidak fikir ia lebih berkisar kepada perlawanan persahabatan sebaliknya semua perlawanan adalah istimewa.
“Hampir 20 tahun sejak kali terakhir Malaysia menentang New Zealand, jadi saya rasa kami perlu biasakan diri berdepan lawan seperti ini dan cuba dapatkan keputusan baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Senarai pemain New Zealand menyaksikan lapan daripada mereka beraksi di pentas Eropah di mana penyerang kelab Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest, Chris Wood turut dipanggil.
Bagaimanapun, kunjungan ke Auckland kali ini tanpa kelibat ketua pasukan, Dion Cools yang terpaksa menarik diri daripada kem negara kerana berdepan urusan keluarga.
Bagaimanapun, kesempatan untuk menentang sebuah pasukan kelab utama New Zealand membolehkan Vicente memberikan peluang kepada pemain untuk menyerlahkan potensi sebenar.
“Perlawanan itu nanti sangat membantu pemain untuk mendapatkan minit dan bagus untuk kami menilai sesuatu. Ini kerana jika persahabatan rasmi, kami tidak boleh masukkan semua pemain dan ia menyukarkan kami untuk menilai,” katanya.