SHAH ALAM – Selebriti popular, Fazura mengejutkan ramai pihak semalam apabila buat pertama kalinya mendedahkan kepada umum bahawa dia menanggung kesengsaraan selama bertahun-tahun ketika bergelar isteri pelakon Fattah Amin.
Dengan linangan air mata, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, 41, berkata, dia memilih jalan untuk berpisah kerana Fattah, 33, berlaku curang selain tiada persefahaman dengan aktor itu yang dinikahi sejak tujuh tahun lalu.
“Bertahun-tahun saya hidup dalam sengsara. Saya reda dengan perceraian ini. Sudah dua tahun saya hidup dalam keadaan tersebut (sengsara).
“Dia (Fattah) telah mengabaikan nafkah saya dan Fatima (anak tunggal). Kami juga tiada persefahaman dan sudah lama saya tidak bahagia.
“Dia juga berlaku curang terhadap saya dan itu yang paling saya tidak boleh terima. Saya ada bukti dia curang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini semalam.
Selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Fazura akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai tersebut pada pukul 9.45 pagi yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Selepas talak dilafazkan, Hakim Syarie kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu antara Fattah dan Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40.
Pelakon filem Gol Dan Gincu itu memberitahu, emosi dan mentalnya terkesan sepanjang kemelut rumah tangga bersama Fattah atau nama lengkapnya, Abdul Fattah Mohd. Amin.
“Sebelum ini saya ambil pendekatan untuk kunci mulut kerana memikirkan tentang anak. Emosi dan mental saya sangat terganggu, saya tertekan. Saya sudah lama bertahan dalam situasi ini (tidak bahagia),” katanya.
Pada masa sama, Fazura yang merupakan seorang usahawan mengakui banyak pengorbanan telah diambil termasuk menyediakan tempat tinggal, makan dan minum selain menghadiahkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenis Range Rover untuk keselesaan Fattah.
“Saya sudah berkorban banyak untuk Fattah, saya sediakan tempat tinggal, makan minum, hadiahkan Range Rover untuk keselesaan dia. Kenderaan itu dia bawa naik wanita yang haram baginya,” dakwa Fazura.
Pelakon jelita itu bagaimanapun menafikan tuduhan tidak sekufu yang membawa kepada punca perceraian mereka.
“Kalau tidak sekufu, dari awal saya tidak berkahwin dengannya, namun pengorbanan saya diambil kesempatan. Itu yang membuat saya sangat kecewa. Kesal kerana telah banyak berkorban,” katanya.
Pelakon filem Manisnya Cinta di Cappadoccia itu turut mendedahkan bahawa anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya tidak pernah menerima duit raya sepanjang empat tahun membesar walaupun Fattah berpendapatan besar dan mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.
“Ramai juga cakap tidak kasihankah kepada Fatima? Sejujurnya saya kasihan. Tapi, di sini saya pun sedih cuma Fatima sepanjang empat tahun tak pernah merasa duit ayah, duit raya ayah dia. Saya sendiri sepanjang kahwin tidak pernah merasa duit raya daripada dia.
“Penajaan dia beratus-ratus ribu dan pendapatan dia rasanya cecah setengah juta, takkanlah tak boleh bagi kepada saya dan Fatima.
“Memang seboleh-bolehnya saya tak mahu pisahkan Fatima dengan ayahnya. Tapi, bagaimana nak hidup bersama kalau Fatima saksikan ibu bapa dia tak bahagia. Saya kena (harus) besarkan Fatima dengan mental yang baik, bahagia dan sebagainya,“ ujarnya.
Fazura turut mengajukan soalan kepada bekas suaminya mengenai masa depan anak perempuan mereka sekiranya Fatima berumah tangga kelak.
“Kalau suatu hari nanti, pasangan Fatima buat kepada Fatima seperti mana dia buat kepada saya, adakah dia bersetuju untuk teruskan dengan apa yang dia buat kepada saya?” soal Fazura.
Bercerita lanjut, Fazura mendedahkan, sepanjang dua bulan tidak tinggal sebumbung, dia kecewa kerana Fattah tidak berusaha memujuknya, sebaliknya hanya kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp.
“Saya mengharapkan suami datang memujuk bukan setakat Whatsapp mesej ‘selamat pagi’, ‘selamat malam’ dan ‘saya minta maaf’. Saya harapkan lebih daripada itu, datang rumah walaupun saya tengah marah. Sebagai isteri kadangkala kita mungkin marah, saya harap dia bersungguh-sungguh pujuk, bukan mesej.
“Saya bercakap benar dan Allah mendengar. Allah tahu saya tak tipu. Saya bukan cakap nak selamatkan diri. Dia datang beberapa kali untuk jumpa anak, dia datang lagi sehari sebelum cerai untuk ambil pakaian dan datang pada hari saya failkan penceraian.
“Memang banyak kali juga saya cakap tak mahu jumpa. Tapi, dalam keadaan hati saya remuk, saya berdoa kepada Allah agar dia datang bersungguh-sungguh pujuk saya, mungkin saya lembut hati.
Dalam dua bulan itu tak ada inisiatif yang benar-benar dia nak memujuk saya,” kata Fazura.