LONDON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag percaya bahawa pihak pengurusan tertinggi kelab itu pasti akan memaklumkan kepadanya jika kedudukanya sebagai pengendali pasukan itu dalam bahaya.
Aksi di Villa Park ketika United terikat tanpa jaringan menentang Aston Villa kelmarin turut dihadiri oleh pemilik bersama kelab itu, Sir Jim Ratcliffe yang menyaksikan Ten Hag gagal memacu pasukan itu meraih kemenangan dalam lima perlawanan setakat ini.
Kesemua pengurusan tertinggi kelab, Sir Dave Brailsford, ketua pegawai eksekutif, Omar Berrada, pengarah sukan, Dan Ashworth, pengarah teknikal, Jason Wilcox serta pengurus legenda, Sir Alex Ferguson turut menyaksikan perlawanan tersebut.
Ten Hag mengakui beliau tidak bercakap dengan kesemua mereka selepas perlawanan dan percaya sebarang keputusan mengenai kedudukannya sepatutnya diketahui kerana mereka sentiasa berkomunikasi.
“Saya tidak pasti sama ada mereka solid di belakang saya, tetapi mereka perlu memaklumkannya. Kami berkomunikasi, sangat terbuka mengenai semua perkara. Saya boleh katakan bahawa setiap hari kami bercakap,” katanya.
Mengulas mengenai perbincangan hangat mengenai spekulasi masa depannya bersama kelab tersebut, Ten Hag mengakui beliau tidak terkesan dan lebih berminat untuk terus bekerja untuk memastikan jentera serangannya lebih tajam.
“Bising di luar adalah sesuatu yang bagi, tapi bukan di dalam kerana ia menyebabkan kami kecewa. Kami sedar bahawa kami perlu melakukannya dengan lebih baik, terutama dalam aspek menjaringkan gol.
“Kami memahami mengenai apa yang perlu dilakukan selepas perlawanan ini. Kami berjaya mencipta banyak peluang, tetapi di dalam kotak penalti kami seharusnya menjadi lebih klinikal,” ujarnya. – AGENSI