BRIGHTON – Brighton berjaya mengembalikan keyakinan selepas mereka bangkit mencatat kemenangan 3-2 ke atas Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex malam kelmarin.
Pasukan tuan rumah pada awalnya ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama hasil jaringan Brennan Johnson dan James Maddison sebelum bangkit meledak tiga gol menerusi Yankuba Minteh, Georginio Rutter dan Danny Welbeck.
Pengurus Brighton, Fabian Hurzeler percaya pasukan yang sedang berada dalam transisi selepas kehadirannya sebagai jurulatih baharu memerlukan sedikit masa untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik.
“Ketika berdepan sesuatu proses, adalah perkara biasa jika anda menampilkan aksi kurang memuaskan dan akan ada naik turun. Pada ketika ini, anda semua perlu menerima Brighton tidak berada pada prestasi terbaik.
“Saya beritahu kepada semua pemain mereka perlu percaya pada proses dan saya gembira dengan reaksi yang ditunjukkan dalam perlawanan hari ini (kelmarin). Mungkin keyakinan mereka sudah kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Rutter percaya kebangkitan yang ditunjukkan Brighton bukanlah bergantung kepada taktikal semata-mata, namun ia adalah hasil kesungguhan dia dan rakan sepasukan untuk mendapatkan tiga mata.
“Kami hanya bermain sebagai satu pasukan, sama seperti yang diminta jurulatih (Hurzeler). Sudah tentu kami gembira untuk mendapatkan tiga mata kerana usaha dan kerja keras kami tidak sia-sia,” ujarnya. – AGENSI