fbpx

Bunuh Sosilawati: Bekas peguam, pekerja ladang kekal dihukum gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan dan pekerja ladang, T Thilaiyalagan atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantu pada 2010. - FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Bekas peguam dan pekerja ladang yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya 14 tahun lalu kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan semakan hukuman mati bekas peguam N.Pathmanabhan, 54, dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 32, untuk mengetepikan hukuman gantung itu.

“Permohonan ditolak, hukuman (gantung) dikekalkan,” kata Tengku Maimun.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini seorang lagi pemohon R. Kathavarayan, 44, menarik balik permohonan semakan hukuman mati itu.

Justeru Kathavarayan kekal hukuman gantung seperti mana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dan Tetralina Ahmed Fauzi.

Pemohon-pemohon diwakili peguam-peguam Amer Hamzah Arshad dan Manjeet Singh Dhillon.

Sebelum ini, semua perayu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Kathavarayan dan seorang lagi lelaki R.Matan dihukum gantung oleh Mahkamah Rayuan selepas gagal dalam rayuan mereka.

Kemudian pada 16 Mac 2017, tiga pemohon kecuali Matan kekal dihukum gantung sampai mati selepas mereka gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan atas pertuduhan itu.

Matan, 26, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mendapati tiada bukti yang boleh mensabitkannya.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel hakim membuat keputusan itu selepas mendapati ada banyak bukti yang lebih daripada mencukupi untuk mensabitkan ketiga-tiga perayu.

Arifin dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala keterangan tiga tertuduh adalah penafian semata-mata.

Katanya apabila mangsa berada di ladang terbabit, tertuduh mempunyai segala peluang yang ada untuk melakukan pembunuhan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI