fbpx

‘Bercerai tidak semestinya bermusuh, bukan penamat segalanya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Emma masih menjalin hubungan baik dengan bekas suami, Shazli demi kebaikan anak-anak.

PETALING JAYA – Demi kebaikan anak-anak, pelakon Emma Maembong berharap orang ramai tidak mencetuskan sebarang spekulasi berkaitan perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.

Emma, 32, atau nama sebenarnya,  Fatimah Rohani Ismail berkata, dia masih menjaga hubungan baik bersama lelaki yang masih merupakan bapa kepada anak-anaknya itu.

“Kami berharap semua pihak tidak memanjangkan berita perceraian ini dan tidak mereka-reka cerita tidak benar memandangkan hubungan kami baik-baik sahaja.

“Apatah lagi, kesihatan mental anak-anak adalah keutamaan kami sebagai ibu bapa.

“Bercerai tidak semestinya perlu bermusuh dan bukanlah penamat segalanya,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Dalam masa sama, Emma berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya masuk campur urusan keluarganya supaya dia dan bekas suami dapat fokus membesarkan dua orang putera mereka.

“Ajal, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT.

“Kita hanya mampu merancang tetapi Dia sebaik-baik perancang.

“Sekali lagi, kami berdua memohon diberikan ruang peribadi untuk kami membesarkan dua putera kami dengan sihat,” jelasnya.

Kongsi pelakon drama Takdir Itu Milik Aku, pada awalnya dia dan Shazli tidak berhasrat untuk mengumumkan perceraiannya tetapi terpaksa berterus terang bagi mengelak fitnah.

“Malangnya, jodoh kami buat masa ini sampai di sini sahaja.

“Jika diikutkan, kami tidak mahu mengumumkan mengenai perceraian ini kerana enggan memanjangkan isu.

“Namun, bagi mengelakkan sebarang fitnah, kami sama-sama bersetuju untuk memaklumkan perceraian ini,” ujarnya.

Semalam, berita mengenai perceraian Emma dan Shazli tersebar dalam media sosial.

Emma turut memaklumkan sudah tamat tempoh idah selain mengambil pendekatan untuk tidak menghebohkan berita perceraian bagi mengelakkan situasi menjadi keruh.

Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Shariq Gabriel, 3 dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI