fbpx

Belum ada keputusan henti subsidi pendidikan anak orang kaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi pada sidang akhbar mingguan di Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan bagi menghentikan peruntukan subsidi pendidikan untuk anak-anak golongan kaya.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan masih pada peringkat penelitian dan beberapa prinsip harus diambil kira sebelum ia dilaksanakan.

Beliau berkata, sebagai contoh, kaedah penyasaran semula subsidi pendidikan tidak boleh disamakan seperti pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik.

“Kita belum putuskan, ia masih di peringkat penelitian, ada beberapa perkara yang menjadi prinsip secara umumnya.

“Kalau pada isu (penyasaran) subsidi elektrik sebagai contoh, kita beri penekanan bahawa 85 peratus daripada pengguna di semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan, maka kita boleh ambil itu sebagai satu prinsip.

“Cuma dalam beberapa perkara seperti pendidikan, ia tidak berdasarkan seperti dalam kes bil elektrik, ia adalah bersandarkan kepada tahap penggunaan, tetapi dalam isu pendidikan, mungkin kita akan teliti beberapa perkara yang lain,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan kaya.

Anwar menegaskan, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan agar pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI