fbpx

420,000 hektar ladang getah terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari.

PETALING JAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengenal pasti kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh bagi memastikan ia diusahakan semula.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan hasil getah asli negara.

Ujar beliau, Malaysia mempunyai 1.1 juta hektar ladang getah, tetapi 420,000 hektar daripadanya berada dalam keadaan terbiar.

“KPK, Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan mencari jalan untuk mengusahakan semula ladang getah terbiar dengan persetujuan pekebun dan peladang getah.

“Jika mereka bersetuju untuk bekerjasama, kita akan mengupah pekerja menoreh pokok getah di ladang mereka untuk meningkatkan hasil dan mereka akan menerima sebahagian keuntungan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Johari berkata, inisiatif itu penting bagi memperkasakan semula industri getah negara kerana ia dapat mengurangkan import getah yang telah mencecah hampir RM6 bilion.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) telah dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM)

Menurut beliau, pengiktirafan MSNR itu secara tidak langsung dapat menjadikan produk getah mampan keluaran Malaysia akan berpotensi dilihat sebagai produk premium dengan nilai tambah yang tinggi.

Ujar beliau, MSNR memberi fokus kepada lima prinsip utama kemampanan iaitu tiada penyahhutanan untuk penanaman getah, penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara, kemampanan alam sekitar, hak asasi pekerja dan kebolehkesanan rantaian bekalan.

“Menyedari cabaran Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), pelaksanaan MSNR ini dilihat penting dalam mengekalkan syer pasaran Malaysia sebanyak 10 peratus dengan nilai eksport getah asli ke Kesatuan Eropah sebanyak RM636.81 juta.

“Manakala syer pasaran produk getah Malaysia ke Kesatuan Eropah adalah sebanyak 16 peratus bernilai RM3.235 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI