fbpx

20,000 askar Ukraine terkorban di Kursk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. HELIKOPTER gempur Mi-35mm milik Russia melepaskan bedilan roket ke arah kedudukan tentera Ukraine di rantau Kursk pada 21 Ogos lalu. -- AFP

MOSCOW – Jumlah askar Ukraine yang terbunuh selepas Kyiv melancarkan serangan darat mengejut ke atas wilayah Kursk di Russia kini melepasi angka 20,000 orang, kata Kementerian Pertahanan di Moscow seperti laporan portal berita RT News kelmarin.

Menurut kementerian ber­kenaan, tentera Russia meneruskan serangan balas di rantau tersebut sambil menghalang le­bih banyak unit tentera Ukraine daripada menceroboh ke wilayah Kursk.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, tentera Ukraine kehilangan kira-kira 200 askarnya di Kursk,” kata Kementerian Pertahanan Russia dalam laporannya.

Sejumlah peralatan dan senjata senjata Ukraine turut musnah dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk sistem artileri, tiga buah mortar dan dua kenderaan, manakala seorang askar Kyiv menyerah diri, kata tentera Russia.

Jumlah keseluruhan askar Ukraine yang terbunuh dalam pertempuran di wilayah sempadan Russia itu telah melebihi 20,800 orang, demikian menurut kementerian sama.

Menurut anggaran tentera Russia, Ukraine juga telah kehilangan lebih 130 buah kereta kebal, 66 kenderaan tempur infantri dan hampir 100 kenderaan pengangkut berperisai dalam serangan rentas sempadan itu yang dilancarkan pada awal Ogos lalu.

Serangan itu merupakan pencerobohan pertama ke atas wilayah milik Russia sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Sepanjang 24 jam lalu, tentera Russia juga berjaya menghentikan empat serangan balas Ukraine di rantau itu dan dua percubaan untuk menceroboh wilayah Russia.

Pegawai-pegawai Ukraine sebelum ini menyatakan, matlamat utama serangan itu adalah untuk mempengaruhi pendapat umum di Russia dan bagi mendapatkan kedudukan yang lebih baik dalam rundingan damai dengan Moscow.

Tentera Ukraine dilaporkan mencapai beberapa kemajuan pada awal Ogos lalu tetapi pencerobohannya ke Russia berjaya dibendung oleh Moscow.

Tentera Rusia secara beransur-ansur berjaya mengalang kemaraan pasukan penceroboh Ukraine dari wilayah tersebut sejak itu.

Sejak permulaan pencerobohan hampir dua bulan lalu, tentera Russia telah merampas semula lebih daripada 12 penempatan penduduk yang ditawan askar Ukraine dekat sempadan negara tersebut.

Moscow berkata, pihaknya tidak menolak rundingan dengan Kyiv tetapi rundingan tersebut hanya boleh dimulakan selepas semua tentera Ukraine berundur sepenuhnya dari wilayah Russia.

Awal minggu ini, Ketua Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia(FSB), Aleksandr Bortnikov berkata, Ukraine telah gagal dalam pencerobohan di Kursk.

Beliau berkata, operasi itu gagal mengalihkan perhatian Moscow daripada meneruskan kemaraannya di wilayah Donbass.

Dalam pada itu, aktivis anti-Moscow, Ildar Dadin yang dipenjara di Russia kerana menentang Presiden Vladimir Putin terbunuh ketika bertempur bersama tentera Kyiv, kata saudara-maranya dan pihak media.

“Dengan rasa penuh kesal, saya memaklumkan kepada anda bahawa Ildar Dadin me­ninggal dunia kelmarin dalam pertempuran di wilayah Kharkiv, timur laut Ukraine,” kata seorang rakannya merangkap bekas Ahli Parlimen Russia, Ilia Ponomarev yang tinggal dalam buangan di laman Facebook.

Dadin, 42, berjuang bersama-sama angkatan tentera Ukraine dalam Batalion Siberia, kata Pono­marev.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua setengah tahun pada 2015 di Russia kerana menganjurkan protes secara bersendirian terhadap pihak berkuasa. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI