fbpx

Usahakan semula 420,000 hektar tanaman getah terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (dua kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di Baling, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

BALING – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memastikan 420,000 hektar tanaman getah yang sudah matang tetapi tidak ditoreh diusahakan kembali bagi meningkatkan pengeluaran getah asli tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting untuk dilaksanakan bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) serta agensi berkaitan dalam memperkasakan kembali industri getah negara.

“Berbeza daripada dahulu, Malaysia merupakan salah satu pengeluar utama getah asli dunia, namun kini Malaysia menjadi net importer bagi getah asli.

“Pada 2023, Malaysia menghasilkan 348,000 tan metrik getah asli dan pada masa sama mengimport satu juta tan metrik getah asli hampir RM6 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Katanya, negara ketika ini mengimport getah asli lebih banyak berbanding pengeluaran tempatan sedangkan mempunyai keluasan tanaman getah kira-kira 1.1 juta hektar.

“Usaha kenal pasti tanaman yang tidak ditoreh ini sedang dilaksanakan. Antara alasan diberikan bila ditanya pihak LGM adalah harga getah murah, penoreh uzur dan sudah tidak larat nak bekerja, kawasan kebun penuh lalang. Walau apa pun kita akan kenal pasti dan cari jalan penyelesaian.

“Ia penting untuk meningkatkan pengeluaran getah tempatan, seterusnya berupaya untuk mengurangkan jumlah import getah asli dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai MSNR, Menurut Johari, ia merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

“Pengiktirafan tersebut untuk memastikan getah yang dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan berdaya saing.

“LGM bermula pada 1 Julai lalu telah giat menjalankan pemeriksaan pematuhan MSNR dalam kalangan pemegang lesen LGM termasuk pekebun kecil getah melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis,” jelasnya.

Katanya, menerusi penguatkuasaan MSNR itu, pemegang lesen dan permit LGM akan dikenakan syarat pematuhan terhadap lima prosedur operasi standard (SOP).

“Ia termasuk tiada penebangan hutan untuk penanaman getah, penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara, kemampanan alam sekitar, pematuhan sosial atau hak asasi pekerja serta kebolehjejakan rantaian bekalan,” ujarnya.

Tambahnya, pengiktirafan MSNR secara tidak langsung dapat menjadikan produk getah mampan keluaran Malaysia akan berpotensi dilihat sebagai produk premium dengan nilai tambah yang tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI