fbpx

Sekretariat Tetap koordinasi tenaga kerja di KHTP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (dua kiri) ketika menjadi panel pada program Bicara Bakat bersama Pemain Industri dan Penyedia Latihan sempena lawatan kerja ke KHTP di Kulim, hari ini.

KULIM – Kerajaan mengumumkan penubuhan Sekretariat Tetap Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bagi mengkoordinasikan isu keperluan guna tenaga yang timbul di kawasan perindustrian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara permasalahan yang dibangkitkan adalah cabaran memperolehi tenaga kerja mahir dan tenaga kerja profesional.

“Keberadaan kami di sini adalah untuk melaksanakan keputusan jemaah menteri bagi melihat beberapa isu yang telah dibangkitkan daripada pelabur-pelabur luar dan dalam negara.

“Jadi dalam tempoh dua minggu daripada sekarang, kita akan mengambil beberapa tindakan dan memutuskan beberapa perkara berkaitan bagi memenuhi permintaan pekerja-pekerja di setiap industri yang ada di KHTP,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Vokasional Negara (MTVET) mengadakan Lawatan Kerja ke KHTP.

Ahmad Zahid berkata, walaupun setiap pemain industri di KHTP mempunyai keperluan tenaga kerja yang berbeza, namun institusi TVET tertentu mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan.

Sementara itu, kerajaan mencadangkan agar satu perjanjian persefahaman antara semua pemain industri di KHTP digubal untuk mana-mana syarikat di situ tidak mengambil pekerja dari syarikat lain di kawasan yang sama.

Menurutnya, kaedah itu boleh dilaksanakan dengan menggunakan amalan yang dipraktiskan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) di negara ini untuk tidak mengambil pekerja-pekerja di satu syarikat untuk masuk syarikat lain.

“Perkara ini juga akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu dan isu ketiga pula adalah masalah dari segi memperolehi kemudahan perubatan kerana saya dimaklumkan katil yang tidak cukup untuk pesakit-pesakit kerana terdapat kira-kira 45,000 pekerja di KHTP.

“Permasalahan ini saya akan bawa untuk makluman Menteri Kesihatan. Manakala satu lagi isu yang akan dimajukan kepada Menteri Dalam Negeri adalah berkait soal kesesakan lalu lintas pada waktu puncak yang menggangu produktiviti syarikat di sini,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memperincikan kolaborasi dengan universiti berdekatan terutamanya yang berada di sekitar radius 30 kilometer dari KHTP bagi pusat latihan pasca siswazah.

“Kita juga harus melakukan koordinasi dengan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang kini terdapat enam universiti teknikal yang menjana beberapa kursus yang sesuai dengan kehendak pasaran,” katanya.

Sementara itu, mengulas tawaran gaji lebih tinggi yang menyebabkan graduan kejuruteraan negara ini berhijrah ke Singapura, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dibawa ke Kementerian Sumber Manusia untuk dbincangkan.

“Perkara ini bukan sahaja dihadapi di KHTP tetapi zon ekonomi khas di Johor di mana gaji minimanya adalah S$1,500 sama dengan RM5,225. Jadi ini bukan masalah di sini saja dan kita akan akan bawa maklumat ke Kementerian Sumber Manusia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI