PETALING JAYA – Orang ramai meminta pihak kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk memperbanyakan anjuran program pengukuhan rumah tangga dalam kalangan pasangan berkahwin.
Tinjauan Kosmo! di Facebook dan laman X mendapati, ramai yang meluahkan rasa risau apabila hampir setiap hari ada sahaja kes perceraian berlaku terutama dalam kalangan selebriti.
Menurut pengguna Facebook, Atiya Kassim, dia berpandangan bahawa menjadi satu keperluan untuk sekurang-kurangnya dua bulan sekali, KPWKM menganjurkan program penyatuan kasih antara suami dan isteri bagi memastikan keharmonian sesebuah rumah tangga itu.
Kata Atiya, pihak kerajaan juga boleh merancang satu kem motivasi melibatkan pasangan berkahwin bagi menyuntik rasa kasih sayang dalam kehidupan mereka.
“Takut dengan situasi sekarang. Hampir setiap hari ada kes cerai. Tak sampai 10 tahun kahwin pun dah cerai, golongan selebriti yang jadi tumpuan ramai pun tak mampu pertahankan rumah tangga.
“Apa kata perbanyakan program-program untuk suami isteri. Saya lihat ketika ini, masih kurang program yang menyuntik emosi para isteri dan suami. Kita ikhtiar selagi mana kita boleh menyelamatkan hubungan perkahwinan yang ada,” katanya.
Sementara itu, di laman X, isu perceraian menjadi topik hangat diperkatakan ketika ini dan rata-ratanya berpandangan agar pihak kerajaan perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran kepada pasangan berkahwin terutama melibatkan cara meredakan konflik rumah tangga.
“Ramai bercerai sebab konflik, tiada persefahaman. Dan sebenarnya ramai juga yang tak tahu cara nak atasi konflik yang berlaku dan akhirnya bercerai.
“Mereka tiada ilmu untuk selesaikan masalah rumah tangga. Kalau ada yang anjur seminar, kem, mungkin ia dapat bantu selamatkan rumah tangga yang sedang goyah,” cadang Syafiq. – KOSMO! ONLINE