JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada seorang pegawai polis, empat bulan lalu.
Tertuduh, Sioh Poh Keong, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Poh Keong didakwa memberi suapan wang tunai RM18,000 kepada Inspektor Risikan / Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menyimpan minuman keras tidak bercukai.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini pada 2.30 petang, 19 Jun lalu.
Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan sehingga RM10,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor.
Peguam tertuduh, K. Bharathi memberitahu, anak guamnya berpendapat sebanyak RM4,000 sebulan hasil perniagaan kedai makan.
“Tertuduh juga menanggung seorang kakak berusia 67 tahun yang baharu menjalani pembedahan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 serta syarat tambahan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 10 November depan untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE