SEPANG – Kerajaan yakin kuota jumlah peserta tempatan bagi Program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT) akan ditambah pada masa depan berbanding 5,125 tempat di peruntukan ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau optimis jumlah itu dapat dicapai susulan hubungan baik antara Malaysia dan China.
Beliau berkata, buat masa ini, seramai 1,776 peserta telah mendapat tempat bagi mengikuti program itu sejak ia diperkenalkan Julai tahun lalu.
“Saya yakin dengan hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang maka, saya fikir kuota itu akan ditambah tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan 200 peserta (MCYTT) ke China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Sebelum ini, China bersetuju menyediakan kuota sebanyak 5,125 tempat selama dua tahun kepada pelajar TVET negara untuk mengikuti kursus jangka pendek selama dua minggu bagi lapan program TVET di negara itu. – KOSMO! ONLINE