fbpx

KPM tidak akan berkompromi terhadap isu buli – Fadhlina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina pada Majlis Perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan di Kajang, Selangor hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD ILHAM SYIR’ABBASY ZAKARIA / KOSMO!

KAJANG – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu buli di sekolah termasuk yang melibatkan anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau lebih dikenali sebagai Tam Spider.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tegas akan diambil oleh pihak KPM dalam mana-mana kes buli selepas siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)

“Saya ingin tegaskan, buli adalah buli, tidak kira anak siapa pun. Anak selebriti, anak menteri sekali pun buli adalah buli. Kita tidak akan berkompromi dalam soal ini.

“Kita telah pun buat tindakan tegas dan bersama ambil tindakan dengan pihak autoriti,” katanya pada sidang media Program Tekad Reformasi Pendidikan yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Fadhlina berkata, buat masa ini pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Kata beliau, garis panduan untuk mengatasi masalah buli bagaimanapun sudah dibuat untuk memastikan seluruh ekosistem persekolahan selamat.

Tam Spider sebelum ini mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama dan melahirkan rasa kesal sekolah terbabit tidak peka dan gagal mengambil tindakan terhadap masalah buli.

Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman mengesahkan, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes buli membabitkan anak Tam Spider dan pelajar lain di sekolah itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI