KUALA LUMPUR – Gangguan dermatillomania atau skin picking sering dipandang remeh tetapi tabiat berkenaan boleh menyebabkan luka dan parut yang serius.
Menurut sebuah perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM), orang yang mengalami gangguan dermatillomania akan mengopek kulit secara berlebihan sehingga menyebabkan luka, pendarahan, atau parut ketara.
“Tabiat ini biasanya dilakukan akibat dorongan yang sukar dikawal, dan mereka yang mengalaminya menggambarkan dorongan ini sebagai sesuatu yang hampir mustahil untuk ditahan.
“Mereka tidak melakukannya secara sengaja, tetapi lebih kepada tabiat atau impuls yang berterusan, yang akhirnya menjadi sukar untuk dihentikan tanpa bantuan,” katanya.
Gangguan ini sering dikaitkan dengan gangguan obsesif kompulsif (OCD) dan boleh menyebabkan masalah pada kulit seperti jangkitan atau parut.
Bagaimanapun, tidak semua yang mengalami gangguan ini OCD.
“Jika anda melakukannya sekali-sekala tanpa menyebabkan sebarang masalah besar pada kulit, itu mungkin normal.
“Tetapi, jika anda perasan yang tabiat ini sudah mengambil masa yang lama dalam rutin harian anda atau menyebabkan kesan buruk pada kulit, mungkin sudah tiba masanya untuk dapatkan bantuan,” tambah PHM lagi.
Menurut PHM, terdapat terapi dan rawatan yang boleh membantu seperti latihan pembalikan tabiat (habit reversal training) dan kawalan rangsangan (stimulus control) boleh membantu mengurangkan dorongan ini dan memulihkan kulit kembali sihat. – KOSMO! ONLINE