fbpx

Kerajaan akan terus lakukan penyelarasan subsidi – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada majlis perasmian Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2024 di Kuala Lumpur. -Foto SADDAM YUSOFF

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mengambil langkah berani dengan melakukan penyelarasan subsidi yang mampu menjimatkan berbilion ringgit wang kerajaan walaupun langkah tersebut tidak popular.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberanian politik perlu diambil untuk melaksanakan tanggungjawab dan tadbir urus yang baik demi kesejahteraan rakyat serta negara.

“Kami sanggup mengambil tindakan yang tidak popular daripada mengambil jalan selamat dengan memberi janji kosong tanpa melakukan sebarang tindakan sehingga membawa negara ke arah kebankrapan.

“Ia termasuklah dengan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik dan pengapungan beberapa barangan keperluan. Ini bukan untuk menyeksa dan membuat rakyat menderita.

“Sebaliknya, rakyat akan terus menikmati subsidi yang mereka layak terima manakala golongan kaya dan industri besar mesti membayar apa yang sepatutnya mereka bayar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, berbilion ringgit yang dijimatkan kini disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk subsidi lain dan pemindahan tunai.

“Itulah yang telah kita lakukan dan akan terus lakukan, seiring dengan usaha untuk meneruskan pembaharuan struktur secara berani.

“Kita sangat komited kepada tadbir urus, kebertanggungjawaban dan keadilan sosial dengan memastikan manfaat pertumbuhan diagihkan secara adil dan saksama supaya setiap rakyat mempunyai peluang untuk maju.

“Sehubungan itu, mereka yang ditugaskan untuk melaksanakan dasar kerajaan mestilah mematuhi standard tertinggi dalam tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti,” ujarnya.

Tegas Anwar, beliau tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI