SHAH ALAM – Kecewa. Itu yang terpancar pada wajah pelakon sensasi Fattah Amin apabila mengetahui bekas isteri, Fazura mendedahkan punca perceraian yang disifatkan tidak benar sama sekali.
Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, menegaskan bahawa dia tidak berlaku curang selain sudah ada perbincangan untuk menutup aib masing-masing.
“Saya nafikan benda itu, peguam dia (Fazura) sudah beritahu sebelum ini tiada kes curang, kenapa tiba-tiba ada kes curang?
“Itu semua saya nafikan. Saya pun ada bukti, itu tohmahan untuk mencemarkan nama baik saya
“Sedangkan kita dah ada perjanjian sebelum saya lafaz tadi, sepatutnya menjaga aib masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online pada hari ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Playboy Itu Suami Aku itu menegaskan bahawa punca perceraian mereka disebabkan tiada persefahaman selain memaklumkan tidak pernah mengabaikan nafkah terhadap keluarganya.
“Saya terkejut dan sedih apabila ada kenyataan seperti itu daripada dia.
“Tiada persefahaman itu sahaja. Mengenai tidak berikan nafkah, saya ada bukti kenyataan bank yang menunjukkan transaksi semua ke keluarga.
“Namun, mungkin itu tak cukup untuk dia,” ujarnya lagi.
Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Aktres itu mengakui Fattah tidak menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga selain berlaku curang yang menjadi punca perceraiannya.
pada 13 September lalu, Fazura mengejutkan ramai apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan Nur Fatima yang kini berusia 4 tahun. – KOSMO! ONLINE