IPOH – Ikan pemusnah Alligator Gar antara lima spesies yang dirampas Jabatan Perikanan Perak dalam Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan di sebuah kedai hiasan akuarium di Kampung Tawas di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, selain Alligator Gar, empat lagi spesies ikan pemusnah iaitu Pimelodidae atau Amazon Redtail, Ikan Bongkok (Geophagus), Gulper Catfish dan Flower Horn turut disita dalam operasi tersebut.
“Sebanyak 42 ekor Ikan Bongkok atau Geophagus, dua ekor ikan Pimelodidae (Amazon Redtail), seekor Gulper Catfish dan Flower Horn dan tiga ekor ikan Alligator Gar yang bernilai lebih kurang RM8300 dirampas dalam operasi ini.
“Operasi tersebut adalah untuk memantau premis atau kedai akuarium ikan hiasan yang ada menjalankan aktiviti mengimport, memiliki, menjual, menternak dan mempamer (5M) di premis mereka,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi ini melibatkan dua aktiviti utama iaitu serbuan ke atas premis atau kedai akuarium ikan hiasan dan seterusnya memberi penerangan serta kesedaran berterusan berkenaan dengan ikan larangan bukan sahaja kepada pemain-pemain industri, malah turut diperluaskan ke rumah-rumah ibadat.
“Ikan larangan ditakrifkan sebagai spesies ikan bukan asli yang diklasifikasikan berupaya memberikan kesan negatif atau bahaya kepada habitat atau ekosistem akuatik yang boleh memberikan kemudaratan kepada kesihatan dan kebajikan haiwan,” katanya.
Menurut Zolkafly, dalam Peraturan-peraturan Perikanan larangan import dan sebagainya bagi ikan (Pindaan) 2024, tiada sesiapa pun boleh mengimport, menjual, memelihara, menyimpan atau mempamer (5M) famili, genus atau spesies ikan hidup sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual kepada peraturan-peraturan ini kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah.- KOSMO! ONLINE