fbpx

Kapal tentera laut New Zealand karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HMNZS Manawanui terkandas lalu terbakar dan karam di luar pantai Samoa. - Radio New Zealand

APIA, SAMOA  –  Sebuah kapal milik Tentera Laut Diraja New Zealand terbakar dan karam selepas terkandas di sebuah kawasan terumbu karang di luar pantai Samoa, menyebabkan kesemua anak kapal perlu diselamatkan, lapor portal berita MailOnline semalam.

Pasukan Pertahanan New Zealand berkata semalam bahawa kapal penyelam dan hidrografi pakar tentera laut, HMNZS Manawanui itu terkandas dekat pantai selatan Pulau Upolu dalam Kepulauan Samoa malam kelmarin.

Seramai 75 anak kapal dan penumpang melakukan tinjauan terumbu tropika di negara kepulauan tersebut sebelum kapal itu terbakar dan tenggelam pagi semalam sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan).

Pesuruhjaya Bomba Samoa, Tanuvasa Petone berkata, kapal itu terbakar sebelum karam, namun misi menyelamat berjaya dengan kesemua penumpang dan kru selamat sampai ke daratan.

“Mereka semua dibawa ke darat. Mereka selamat dan sihat selain beberapa individu yang cedera ringan. Kami memberikan rawatan awal di pangkalan sebelum memindahkan mereka ke hospital,” katanya.

Pasukan Pertahanan New Zealand berkata, punca kapal itu terkandas masih tidak diketahui dan memerlukan siasatan lanjut.

HMNZS Manawanui telah melakukan pelbagai misi  menyelam, menyelamat dan tinjauan pakar di sekitar New Zealand dan di perairan barat daya Pasifik.  – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI